Thursday, September 3, 2009

KEPENTINGAN PENGAMBILAN MAKANAN BERKHASIAT

Kesihatan diri merupakan harta yang paling berharga namun ramai yang tidak menyedarinya sehingga ditimpa sesuatu penyakit yang tenat. Ramai juga yang tidak menyedari akan peranan pengambilan makanan yang berkhasiat untuk memastikan kesihatan yang baik.

Punca utama serangan penyakit-penyakit tenat seperti kanser dan penyakit jantung ialah kerana tidak memakan makanan yang sempurna dan kurang memakan makanan yang berkhasiat.

Corak pengambilan makanan yang teratur sepatutnya dimulakan sejak awal lagi. Pepatah ada mengatakan, "Diri Anda Ialah Apa Yang Anda Makan" dan kenyataan ini benar dalam soal kesihatan. Corak pemakanan menentukan keadaan kesihatan kita kerana diet yang tidak teratur memburukkan kesihatan.

Seorang Pakar Pemakanan dari Amerika Syarikat, Frances M Lappe berkata rakyat di negaranya mempunyai diet yang tidak menyihatkan. Dalam bukunya Diet for a Small Planet beliau berkata penduduk negara itu memakan terlalu banyak daging, lemak, gula, alkohol, bahan penambah tetapi kurang memakan makanan berserat.

Tabiat ini juga mulai merebak di kalangan rakyat Malaysia yang pada umumnya memakan kian banyak makanan berproses. Adakah anda salah seorang daripada mereka? Adakah diet anda mempunyai ciri-ciri seperti berikut?

Terlalu banyak lemak dan kolesterol

Makanan seperti daging telur dan hasil tenusu seperti mentega dan keju merupakan sumber protein, vitamin dan galian yang baik tetapi ia juga mengandungi banyak lemak dan kolesterol.

Lemak boleh menyebabkan kegemukan, mendorong serangan jantung dan meningkatkan risiko serangan kanser sementara kolesterol menjadi punca utama sakit jantung.

Makanan berproses dan snek seperti kentang goreng dan kerepek juga mengandungi banyak lemak dan kolesterol begitu juga dengan makanan jualan penjaja.

Terlalu banyak gula

Makanan yang diproses dan makanan manis seperti kek coklat dan aiskrim mengandungi banyak gula yang memberikan sejumlah besar kalori tanpa khasiat makanan atau serat.

Kehadiran gula juga menggantikan makanan yang berkhasiat dan menyingkirkan beberapa vitamin dan galian dari tubuh.

Memakan gula yang berlebihan bermakna anda menanggung risiko kerosakan gigi, kegemukan dan masalah-masalah lain yang dikaitkan dengannya seperti kencing manis, serangan jantung dan sebagainya.

Terlalu banyak garam

Makanan segera, makanan dalam tin, daging yang diawet dan makanan ringan bergaram seperti kentang goreng, mengandungi terlalu banyak garam.

Memakan terlalu banyak garam boleh menyebabkan tekanan darah tinggi yang akhirnya boleh membawa kepada serangan jantung atau strok.

Sesetengah orang mungkin menghadapi masalah terlalu banyak air di bawah kulit (edema).

Terlalu sedikit serat

Tanpa pengambilan serat, makanan mengambil masa antara 70 - 80 jam untuk melalui saluran penghadaman. Mengurangkan masa yang diambil makanan untuk melalui saluran itu dapat melindungi daripada serangan kanser usus besar dan rektum dengan mencairkan bahan beracun yang terdapat di dalam usus besar dan mempercepatkan pengeluarannya dari tubuh.

Setiap manusia mempunyai keperluan yang berbeza, oleh itu anda harus menentukan sendiri apa yang terbaik untuk diri anda. Untuk memastikan anda makan berlebihan, anda mungkin perlu menimbang berat badan dari semasa ke semasa atau perhatikan sama ada terdapat perubahan ketika berpakaian iaitu sama ada pakaian kian sendat atau tetap seperti biasa.

Kita perlu mengimbangi tenaga (makanan) yang kita perolehi dengan tenaga yang digunakan untuk kegiatan seharian. Jika anda berkejar ke sana ke mari sepanjang hari, bererti anda telah menggunakan lebih banyak tenaga berbanding jika anda hanya duduk sepanjang masa. Jika anda memakan melebihi keperluan tubuh, maka lebihan makanan itu akan tersimpan sebagai lemak.

Diet anda menentukan keadaan kesihatan anda sepertimana pepatah diri anda ialah apa yang anda makan. Oleh itu penting bagi anda mengamalkan tabiat makan yang baik dari peringkat muda lagi.

UTUSAN PENGGUNA, MAC 1997, M/S 19

Wednesday, September 2, 2009

Sajak : Dadah Durjana

Dadah
Tika dulu kau bagai penawar
Mengukir sejarah di bidang perubatan
Penyelamat nyawa tika kesakitan

Namun kini
Martabatmu begitu hina
Hadirmu bak najis semata
Kau hanyalah pemusnah
Generasi dunia

Dadah
Kau umpama racun yang mengalir
Dalam pembuluh darah
Bagai jarum yang ditusuk hingga ke tulang
Perit..
Pedih..

Dadah
Kau durjana
Hadirmu membawa derita
Khayalan sementara cuma
Imaginasi dusta di bumi nyata
Membawa kesedihan
Mengundang derita sengsara
Dan mengusung
Kematian..

Thursday, March 26, 2009

lemahnya diri ini


Lemahnya diri ini
Baru sikit Allah menguji
Sudah rebah tak mampu berdiri

Lemahnya diri ini
Baru saja bayu dunia menyapa pipi
Sudah melayang tak sedarkan diri

Lemahnya diri ini
Baru sekelumit keindahan wajah diberi
Sudah mula lupa diri

Lemahnya diri ini
Baru sikit kejayaan diberi
Sudah lupa siapa yang beri

Lemahnya diri ini
Baru sikit buat kebaikan
Riak dan ujub bersorak riang

Lemahnya diri ini
Bila suatu kebajikan dimulakan
Tak berdaya nak teruskan
Tiada istiqamah dalam amalan

Lemahnya diri ini
Baru diuji dengan seorang lelaki/wanita
Iman sudah bisu menyepi
Nafsu pula mengawal diri

Lemahnya diri ini
Jalan dakwah kata nak tempuhi
Baru saja melangkah kaki
Beberapa tapak sudah berhenti

Lemahnya diri ini
Nikmat anugerah IlahiBiar sudah tak terhitung lagi
Tapi masih lupa mensyukuri

Lemahnya diri ini
Asyik lagha dengan urusan duniawi
Tak pernah khuatir amalan diterima Atau dipaling

Lemahnya diri ini
Bagaimana nak sahut seruan jihad?
Baru sikit dilukai
Sudah menangis meratapi

Lemahnya diri ini
Lupa matlamat lupa syari’at
Terkejar-kejar yang tak pasti
Leka dibuai syaitan terlaknat

Lemahnya diri ini
Asyik ketawa tak kering gusi
Lupa menangis mengingat MATI…

Ya Allah… Lemahnya diri ini.. Kami pohon kekuatan daripadaMu Tuntunilah langkah kami Biar hanya mampu merangkak Itu pasti lebih baik Daripada terus rebah dalam kaku Berikan kami peluang Merentasi jalan yang Engkau redhai Ampunilah kekhilafan semalam Atas kejahilan kami mengenal makna Kasih sayangMu...Ya Rabbal’alamin.

Tuesday, March 24, 2009